Wednesday, June 24, 2009

Pengembaraan Pasca Simposium UNIW











Tanggal 14 Jun 2009, saya telah dibawa dan dipelawa oleh Saudara Abdullah ke kampung halamannya di Başmakcı, sebuah perkampungan kecil antara Bandar Isparta dan Afyon. Ini merupakan lawatan saya yang pertama ke kampung tersebut setelah selesai dua simposium besar yang diadakan oleh UNIW (Union of NGOs of the Islamic World).

Başmakcı mempunyai kepadatan penduduk seramai 58 ribu orang yang merangkumi 12 perkampung kecil. Rata-rata masyarakat di sini merupakan golongan petani dan hampir 95% daripada mereka mengusahakan tanaman gandum serta pelbagai jenis sayur-sayuran serta buah-buahan.

Rumah-rumah mereka kebanyakkannya diperbuat daripada tanah yang dibentuk seperti simen. Kawasan di sini juga jarang menerima hujan serta mempunyai suhu yang agak panas serta kering. Kelembapan udara di sini adalah kurang memandangkan ia terletak jauh daripda laut ataupun tasik.

Keadaan langit yang tidak berawan tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengembara ke tempat ini. Atas dasar persahabatan, saya menggagahkan diri untuk merentas 2 benua (Eropah dan Asia), menaiki bas ke sana. Perjalanan yang mengambil masa lebih daripada 14 jam ini cukup mengeyangkan minda saya dengan pelbagai pengalaman baru.

Tiba sahaja saya di Isparta, saya telah dijemput oleh Saudara Osman untuk menetap seketika di madrasah serta mempersiapkan diri, sementara menunggu Saudara Abdullah datang dari kampung halamannya. Setibanya Saudara Abdullah di Isparta, saya terus dibawa olehnya ke kampung halaman beliau dengan menaiki bas. Perjalanan saya tidak berhenti setakat itu. Berhentinya sahaja kami di jalan besar, kami terpaksa mengambil satu lagi pengangkutan awam untuk sampai ke sana. Nasib tidak menyebelahi kami dan bas yang ditunggu tidak tiba. Ramai masyarakat di sini lebih suka untuk menahan sahaja kereta atau lori yang lalu di sepanjang jalan.

Sikap orang Turki yang sentiasa memuliakan tetamu, telah mendesak Saudara Abdullah untuk menelifon teksi atau saudara-maranya untuk mengambil kami di jalan besar. Walaupun saya telah mengatakan padanya supaya tidak perlu bersusah payah memanggil teksi atau saudara-maranya, namun beliau tidak mengendahkan kata-kata saya, hatta saya juga mampu untuk berjalan kaki sekiranya tempat yang dituju tidak berapa jauh. Sambil tersenyum, beliau menjawab bahawa beliau tidak ingin meletihkan kaki saya dengan berjalan kaki sejauh 20 km untuk menuju ke kampung halaman tersebut.

Elhamdulillah akhirnya kami telah dibawa ke perkampungan tersebut dengan menaiki sebuah kenderaan milik saudara beliau yang juga merupakan seorang ahli Jemaah Hayrat. Kisah sewaktu saya di jalan besar menuju ke kampung tersebut tidak berakhir setakat itu sahaja. Di sini saya telah merasakan betapa tingginya akhlak dan sikap mereka terhadap tetamu sejak awal pengembaraan saya ke Başmakcı.

Memandangkan pada kereta tersebut mempunyai 2 orang wanita yang agak besar saiz badan mereka, serta 4 orang pemuda dengan dua daripadanya mempunyai saiz badan yang agak besar. Saya telah terfikir bagaimanakah kita mampu untuk ke tempat yang dituju dan apakah yang perlu dilakukan. Belum sempat saya memikirkan sebarang tindakan, 2 wanita tersebut terus menuju ke arah kerusi hadapan kereta dan membenarkan kami sebagai tetamu untuk duduk di kerusi bahagian belakang kereta dengan selesa. Masyaallah, begitu tinggi sekali sikap mereka dalam memuliakan tetamu.

Lebih kurang jam 8 malam, saya tiba di rumah Saudara Abdullah. Bapa beliau telah sedia menanti saya di hadapan pintu rumahnya dengan senyuman yang cukup mesra menanti kehadiran kami berdua. Pada malam itu juga, saya telah dihidangkan dengan makanan yang cukup enak. Pendek kata, saya telah dilayan seperti seorang Sultan keberadaan saya di sana. Perut saya tidak pernah lapar sama sekali dan setiap hari saya sentiasa dibawa bersiar-siar sekitar kawasan tersebut.

Apa yang menarik tentang tempat ini ialah, di sini terdapatnya sebuah makam milik Sultan Abdul Rahman, seorang anak murid kepada seorang alim ulama, Ustaz Abdul Kadir Al-Jailani yang telah terpelihara lebih daripada 1000 tahun lamanya. Di sini juga terdapat makam seorang alim bernama Raramanlı Ibrahim Fadıl Hoca. Beliau mempunyai banyak nama dan dua daripadanya yang terkenal ialah Karaman Hoca serta Tabanjalı Hoca. Sewaktu hayatnya, beliau pernah menceritakan bahawa pada zaman ini di bumi Turki terdapat tiga orang alim ulama, pejuang agama yang akan meninggal dunia pada bulan serta tahun yang sama. Satu daripadanya ialah beliau, yang keduanya ialah Ustaz Said Nursi, serta seorang lagi berada di Ulu Borlu.
Kata-kata beliau ternyata benar apabila ketiga-tiga mereka meninggal dunia pada bulan serta tahun yang sama ialatu pada Mac 1960. Kini, terdapat tarikat beliau dan masih berkekalan sehingga kini.

Salah satu lagi perkara yang amat menarik minat saya kepada masyarakat di sini ialah, sikap rajin bekerja yang mereka tunjukkan. Rata-rata masyarakat di sini akan turun ke ladang masing-masing seawal jam 5.30 pagi setelah selesai solat subuh dan pulang dari ladang masing-masing jam 8.30 malam. Tidak kira tua atau muda, mereka masyarakat di sini amat mesra dan saling bantu-membantu. Atas sifat raji yang ditunjukkan serta faktor cuaca setempat, maka tidak hairanlah sekiranya kulit mereka rata-rata agak sawa matang, berbeza dengan masyarakat Turki yang berada di Istanbul.

Jika Afyon terkenal dengan pengeluar nombor satu Bunga Popi, bunga terlarang yang digunakan untuk menghasilkan dadah serta ubat-ubatan, Başmakcı pula terkenal dengan kawasan pengeluar telur ayam. Telur-telur ayam dari sini akan di impot sehingga ke Sirya, Iraq dan banyak lagi negara selain untuk keperluaan tempatan. Tambahan pula, tempat ini juga terkenal dengan kawasan pengeluar gandum. Tidak terlepas juga, ramai masyarakat di sini yang mengusahakan tanaman Popi untuk dibuat ubat-ubatan. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk melihat secara dekat pohon Popi. Masyarakat Turki mengenali buah Popi dengan panggilan ‘Has-has’.



Saya telah diberi kesempatan untuk merasa serta mencuba biji-biji halus buah popi. Rasa ragu-ragu yang muncul pada awal perasaan saya sama sekali lenyap apabila sahabat di sini menyatakan tiidak ada apa yang perlu dirisaukan sekiranya seseorang itu memakan biji-biji halus pohon popi. Setelah Saudara Ramadhan, pak cik kepada Saudara Abdullah mendahului daripada saya makan bijian tersebut, barulah saya yakin untuk memakannya, itupun dengan kuantiti yang sedikit. Apa yang menghairankan saya ialah, walaupun kawasan ini mempunyai banyak ladang tanaman Popi, namun tidak ada penagih dadah yang ketagih dengannya. Apa yang ada hanyalah segelintir masyarakat yang ketagih dengan minuman keras. Ternyata ini amat pelik sekali.

Demikianlah pengembaraan saya di Başmakcı. Pengalaman selama 4 hari berada di sini amat meninggalkan kesan dalam diri saya dan masyarakat setempat. Semoga Allah membalas segala jasa, budi dan amal kebaikan yang telah diberikan. Teringat dalam diri ini akan pepatah yang menyatakan “Biarlah kita menjadi orang yang miskin harta, tetapi kaya akhlak dan budi”.